Sunday 24 November 2019

Dynamic Instructional Design (DID)


Model reka bentuk pengajaran dinamik (Dynamic Instructional Design (DID)) merupakan salah satu model yang direka bersesuaian dalam PnP. Model ini mempunyai enam langkah yang mana setiap satunya memerlukan kepada tindak balas formatif.
Sebelum guru memulakan PnP, perlu bagi guru untuk mengenal pelajar dari segi demografi, tahap perkembangan gaya belajar, kekuatan pelajar dan tahap pengetahuan sedia ada. Apabila guru mengenal para pelajar maka ianya akan memudahkan sesi PnP terutama dari segi interaksi. Sebagai contoh, dalam pembelajaran Al-Quran, tidak semua pelajar mampu untuk menerap segala input atau ilmu. Terdapat juga pelajar yang masih lemah dalam membaca Al-Quran. Secara tak langsung guru telah melakukan langkah pertama iaitu mengenal pasti masalah pelajar.
Seterusnya langkah kedua memerlukan objektif dan setiap objektif yang dinyatakan seharusnya berfokus pada pencapaian pelajar yang telah dikenalpasti masalah. Guru boleh menggunakan Taksonomi Bloom sebagai panduan dalam menentukan objektif. Berkait dengan situasi pelajar lemah dalam membaca Al-Quran, objektif yang boleh dinyatakan ialah pelajar akan dapat menyebut kalimah/ayat Al-Quran berdasarkan baris dengan betul.
Setelah objektif telah di nyatakan, guru akan membentuk persekitaran iaitu menentukan persekitaran pembelajaran sama ada strategi pengajaran teknologi yang membantu serta sikap dan peranan guru. Antara yang boleh dilakukan oleh guru adalah mengubah suai ruang dalam bilik darjah supaya keadaan yang lebih kondusif. Pelajar yang lemah akan duduk bersebelahan atau satu kumpulan dengan pelajar yang berkebolehan. Hal ini penting kerana seorang guru tidak mampu untuk memberikan masa untuk semua pelajar atas ruang masa yang sangat terhad. Maka, pelajar yang lemah akan belajar dengan pelajar yang lebih pandai atau berkebolehan dalam membaca al-Quran.
Langkah seterusnya guru akan mengenal pasti strategi-strategi PnP. Strategi yang digunakan mestilah bersesuaian agar objektif yang dinyatakan tercapai. Disinilah guru akan menggunakan segala pedagogi, sama ada guru dengan pelajar atau pelajar dengan pelajar. Pelajar diberi peluang untuk mengajar rakannya yang lemah dan boleh membetulkan bacaan jika berlaku kesalahan.
Kelima, kenal pasti dan memilih teknologi sokongan sama ada audio, visual atau digital. Sebelum memilih, guru itu sendiri harus memahirkan diri dengan teknologi yang dipilih dan akan digunakan dalam PnP. Antara teknologi yang boleh digunakan adalah animasi. Menurut Mayer dan Moreno (2002) animasi memiliki 3 fungsi utama: (1) gambar – animasi merupakan sebuah penggambaran; (2) gerakan – animasi menggambarkan sebuah pergerakan; (3) simulasi – animasi terdiri atas objek-objek yang dibuat dengan digambar atau metode simulasi lain. Antara lainya animasi berfungsi sebagai alat untuk memberikan pemahaman kepada pelajar atas bahan yang diberikan.
Langkah terakhir adalah proses menilai dan menyemak semula reka bentuk yang telah dilaksanakan. Didalam langkah kelima, selepas animasi digunakan, para pelajar akan diuji dengan latihan yang disediakan. Maklum balas sumatif akan dinilai pada akhir rekabentuk untuk melihat keberkesanan model secara keseluruhan setelah maklum balas formatif di ambil kira dalam setiap langkah.  
Gambar rajah 1: Infografik Model DID dalam, PnP





Rujukan

Handani, S. W., Suyanto, M., & Sofyan, A. F. (2016). Penerapan konsep gamifikasi pada e-         learning untuk pembelajaran animasi 3 dimensi. Telematika9(1).

Lever-Duffy, J., Mcdonald, J. B., & Mizell, P. A. (2003). Teaching and Learning with       Tecnhology, 200-231.

Mayer, R. E., & Moreno, R. (2002). Animation as an aid to multimedia learning. Educational        psychology review, 14(1), 87-99.

No comments:

Post a Comment

PENDIDIKAN